Isnin, Ogos 08, 2011

Maafkanku Masjid



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ketika Abang Long menulis artikel ini, Abang Long sedang berpuasa untuk hari ke lapan. Bermakna lagi 2 hari untuk fasa pertama bulan Ramadhan. Alhamdulilah, Abang Long sempat bersahur sebanyak 7 hari daripada 8 hari. Maknanya terlepas satu hari. Tidak terbangun, mungkin sebab terlampau letih melakukan pelbagai program dan jarak pemanduan yang jauh.

Lupakan hari yang telah berlalu. Jadikan ianya satu iktibar untuk Abang Long dan para pembaca sekalian. Sebenarnya Abang Long nak berkongsi aktiviti istimewa sepanjang bulan ramadhan kali ini. Dan alhamdulilah, aktiviti-aktiviti ini berjalan dengan baik sekali.


Pada Ramadhan kali ini, Abang Long beriltizam untuk ‘ziarah mesra’ masjid yang berlainan pada setiap hari. Tujuannya adalah untuk berbuka bersama-sama jemaah disitu dan beriktikaf serta berterawikh. Sudah 7 hari berpuasa dan alhamdulilah, abang long telah melawat 5 buah masjid sudah. 2 buah masjid berulangan.

Kenapa abang long cuba untuk berjalan-jalan disemua masjid di lembah klang? Disebabkan, meningkatkan peluang untuk bergaul dengan masyarakat sekeliling. Percayakan disetiap masjid mempunyai semua lapisan umur? Kalau percaya bergaullah dengan semua sekali peringkat umur. Alhamdulilah, banyak ragam yang kita temui.

Tetapi berdasarkan pemerhatian abang long dibeberapa buah masjid disekitar tempat abang long menyewa, abang long boleh bahagikan kepada 2 jenis masjid. Masjid yang diimarah oleh kebanyakan orang kaya dan masjid yang diimarahkan oleh kebanyakan oleh golongan sederhana. Bukan niat abang long untuk membahagikan masjid-masjid tetapi berdasarkan pemerhatian abang long, itulah yang abang long boleh simpulkan.

Apa yang abang long boleh lihat adalah, masjid yang diimarahkan oleh kebanyakan orang kaya lebih tersusun dan baik berbanding jenis masjid yang sebaliknya. Imam yang dilantik mengetuai solat terawikh adalah imam yang berkaliber dan bersuara merdu. Malah, perjalanan daripada solat isyak ke solat witir sangat tertib dan singkat. Berlainan pula yang berlaku di jenis masjid yang satu lagi, tidak tertib dan sebolehnya dipadatkan program dalam satu malam seperti bacaan tahlil, solat hajat, tazkirah sebelum menghabiskan 8 rakaat terawikh dan witir selepas itu.

Abang Long nak bawak isu ini bukan untuk mengadu domba mana-mana pihak tetapi cuba untuk memuhasabah diri sendiri, jenis masjid mana yang lebih baik. Malah abang long rasa kebanyakan masyarakat kita masih lagi belum dapat membezakan keutamaan ibadah dalam bulan puasa. Bagi abang long, bukan tazkirah panjang (yang diselang seli dengan ceramah politik), tahlil dan solat hajat yang lebih utama dalam bulan puasa ini, tetapi terawikh dan witir yang lebih diutamakan.

Abang long menyokong pendirian seorang ustaz ini yang menerima jemputan tazkirah yang dilakukan selepas 8 rakaat terawikh dan menolak jemputan tazkirah yang dilakukan sebelum 8 rakaat terawikh. Bagi beliau, tazkirah pada bulan puasa adalah pilihan. Maka, tazkirah selepas 8 rakaat itu lebih baik berbanding tazkirah selepas 4 rakaat terawikh.

Jika tazkirah selepas 8 rakaat, makmum mempunyai pilihan untuk duduk mendengar ataupun pulang jika mempunyai urusan yang lebih penting. Jika tazkirah sebelum 8 rakaat, makmum seolah-olah dipaksa untuk mendengar tazkirah tersebut disebabkan masih belum sempurna 8 rakaat terawikh. Alangkah kesiannya AJK masjid akibat dikutuk pada bulan puasa dek orang yang tidak berpuas hati disebabkan mereka mempunyai urusan penting selepas terawikh.

Nasihat abang long, pengurusan masjid perlu mengambil tahu bahawa tidak semua ahli kariah masjid adalah orang tempatan dan tidak semua daripada mereka “FREE” pada malam tersebut.

Moga-moga selepas ini, pengurusan masjid berubah kepada yang lebih baik. Masjid adalah lambang kepada keindahan islam. Walaupun masjid cantik tetapi pengurusan teruk dan tidak mesra pengunjung, maka ini akan menjadi backfire kepada islam itu sendiri.  Orang ramai melihat islam dengan masjidnya sepertimana orang melihat kristian dengan gerejanya dan melihat hindu dengan kuilnya. Mantapkan institusi masjid dan kembalikan kemesraan orang kepada masjid.

Be a one god.

Fahmi a.k.a abang long
“melahirkan jutawan muslim”
“tintamenulis.blogspot.com”

********* IKLAN ******************* ****************************************************